Tuesday, August 11, 2009

Laporan Sinar Harian 11 Ogos 2009

Itu bukan kenyataan saya: Siew Fook

SEREMBAN – Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook menafikan beliau telah mengeluarkan sebarang kenyataan menghina Islam, sebaliknya mengakui menjadi mangsa laman blog yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, kenyataan yang tersiar dalam laman blog www.sjsandteam.wordpress.com ternyata sengaja mahu menimbulkan api kemarahan masyarakat Islam terhadap dirinya, sekali gus untuk mengaibkannya.

“Memang saya terkilan kerana perkara itu saya tidak pernah cakap. Saya menafikan sekeras-kerasnya. Saya tidak pernah keluarkan kenyataan yang menghina Islam atau agama lain.

“Saya rasa ada pihak yang cuba mahu memburukkan dan mengapi-apikan keadaan kononnya saya anti Islam,” katanya.

Beliau berkata, laman blog berkenaan bukan miliknya, tetapi dibangunkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan sengaja mahu mencetuskan keadaan huru-hara.

“Itu bukan lama blog saya dan saya tidak boleh kawal dan bertanggungjawab terhadap laman blog itu. Tetapi yang jelas, perkataan keterlaluan menghina Islam itu sebenarnya adalah daripada komen pembaca laman blog berkenaan yang saya tidak tahu siapa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini semalam.

Siew Fook berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang kesal dengan kenyataan Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu menyerang peribadi pendakwah Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah secara keterlaluan, biadab dan boleh mencetuskan ketegangan agama di dalam laman blog berkenaan.

Bagaimanapun, Siew Fook menafikan perkataan mencaci keterlaluan itu adalah kenyataannya, sebaliknya ia adalah komen-komen daripada pembaca laman blog berkenaan dan tidak menolak kemungkinan pihak tertentu cuba memutarbelitkan fakta.

Difahamkan, laman blog berkenaan telah pun ditutup sejak semalam.

Berikutan tersiarnya laman blog berkenaan, Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Rasah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur kira-kira 3 petang semalam.

“Saya mengutuk siapa yang membuat komen sebegitu. Saya harap orang ramai menyiasat dulu fakta berkenaan dan jangan terpengaruh dengan dakwaan palsu yang berniat jahat,” katanya.