Tuesday, December 11, 2007

NS Budget Speech 2008


Ucapan oleh ADUN Kawasan Lobak, Loke Siew Fook dalam perbahasan BAJET Negeri Sembilan 2008 pada hari Isnin, 3 Disember 2007 di DUN Negeri Sembilan

Pendahuluan

Saya bangun untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2008) 2007 yang telah dibentangkan sekali dengan Usul Anggaran Pembangunan Negeri Sembilan 2008.

Kerajaan Negeri telah membentangkan satu lagi Bajet defisit untuk tahun 2008 sebanyak RM 106.595 juta dimana Anggaran Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM326.695 juta melebihi Anggaran Hasil yang dianggarkan sebanyak RM220.1 juta. Ini merupakan Bajet defisit yang kesepuluh berturut-turut untuk Negeri Sembilan dan saya berasa bimbang sehingga bila kita dapat menampung defisit perbelanjaan ini. Kerajaan Negeri perlu menjelaskan perkara ini dan sejauh mana kita dapat menampung defisit yang begitu besar ini.

Sebelum saya masuk kepada perbahasan secara terperinci, saya ingin mempersoalkan mengapa Kertas Dewan Bil 2 Tahun 2007 iaitu Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tambahan Kedua 2007 yang memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM5.22 juta untuk menjelaskan ansuran faedah kepada Kumpulan Wang Persaraan yang telah dibentangkan kepada Dewan pada Jumaat yang lepas tidak dibentangkan sebagai satu usul untuk diluluskan oleh Dewan yang mulia ini? Adakah perbelanjaan ini sah sekiranya ia tidak mendapat kelulusan daripada Dewan? Saya meminta pihak Kerajaan Negeri memberikan penjelasan.

Anggaran Hasil

Saya ada beberapa persoalan mengenai Anggaran Hasil terutamanya dalam Terimaan Bukan Hasil.

- Untuk Kod Hasil 82352 Pemberian Pertumbuhan Hasil Bahagian 1 yang dianggarkan sebanyak RM 3.4 juta untuk tahun 2008. Mengapa ia berkurangan berbanding anggaran tahun 2007 sebanyak RM5 juta? Dan mengapakah sehingga 30 September 2007, hasil ini langsung belum diterima seperti yang tercatit dalam buku Bajet 2008?

- Untuk Kod Hasil 82353 Pemberian 50% perbelanjaan mengurus untuk 3 Jabatan iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, adalah didapati bahawa anggaran tahun 2008 sebanyak RM9 juta adalah lebih rendah daripada anggaran tahun 2007 sebanyak RM10.5 juta. Anggaran hasil ini telah berkurangan berbanding tahun lepas walaupun jumlah perbelanjaan mengurus untuk ketiga-tiga jabatan ini telah meningkat menjadi RM26.435 juta untuk tahun 2008. Sepatutnya kerajaan negeri memperolehi RM13.2 juta sekiranya perhitungan 50% diambil kira.

Saya meminta kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai kedua-dua item hasil ini.

Pelaburan asing

Kerajaan Negeri telah menubuhkan Pusat Pelaburan Negeri Sembilan bertujuan untuk mempromosi dan menarik pelabur asing ke Negeri Sembilan. Kerajaan negeri juga menetapkan sasaran bagi mencapai jumlah pelaburan sekurang-kurangnya RM1.0 billion setahun. Baru-baru ini, YAB Rantau ada mengeluarkan kenyataan bahawa Negeri Sembilan telah kehilangan satu pelaburan asing yang bernilai RM1 billion pada tahun ini kerana beberapa kekurangan di Negeri Sembilan seperti ketiadaan status MSC dan tidak tergolong dalam koridor pembangunan ekonomi khas dan faktor-faktor lain. Bukankah Perdana Menteri telah menjanjikan bahawa Negeri Sembilan tidak akan ketinggalan walaupun kita tidak terlibat dalam mana-mana koridor ekonomi yang akan dilaksanakan?

Apakah langkah-langkah dan strategi kerajaan negeri untuk meningkatkan daya persaingan kita untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Negeri Sembilan kerana kita bukan sahaja menghadapi cabaran saingan dengan Negara-negara asing yang lain tetapi kita juga perlu bersaing dengan negeri-negeri lain di Malaysia yang mungkin mempunyai insentif yang lebih baik dan menarik berbanding kita?

Dalam keghairahan kita menarik pelaburan asing ke Negeri Sembilan, kita juga perlu menjaga kebajikan dan prospek peluang pekerjaan pekerja-pekerja tempatan di kilang-kilang yang dibuka oleh syarikat asing. Baru-baru ini, saya difahamkan bahawa terdapat 98 pekerja tempatan telah ditamatkan kontrak kerja mereka atau menghadapi “retrenchment” oleh syarikat Samsung SDI termasuk 18 orang yang tergolong dalam peringkat pengurusan dengan alasan bahawa prestasi syarikat dijangka akan merosot pada tahun depan dan faktor usia mereka telah mencecah 40-an. Namun, syarikat tersebut dikatakan telah mengambil ramai pekerja asing dalam bahagian operator dan juga bahagian keselamatan.

Saya nak bertanya apakah langkah-langkah atau dasar kerajaan negeri dalam isu pengambilan pekerja asing oleh syarikat-syarikat asing yang melabur di Negeri Sembilan sehingga peluang pekerjaan rakyat tempatan terjejas? Bagaimana kerajaan negeri boleh membantu pekerja-pekerja tempatan kita yang telah kehilangan kerja mereka?

Peruntukan untuk agama bukan Islam

Jumlah penduduk di Negeri Sembilan telah hampir mencecah 1 juta orang. Daripada jumlah ini, kira-kira 40% adalah penduduk yang beragama bukan Islam. Kita perlu menerima hakikat bahawa kepelbagaian agama dan kebudayaan dalam masyarakat kita sebenarnya merupakan satu tunjang kekuatan Negara kita dan perlu dipupuk dan dipelihara selama-lamanya. Justeru itu, saya menyeru kepada semua jabatan kerajaan dan pejabat-pejabat tanah supaya sekiranya ada apa-apa isu yang timbul mengenai tempat-tempat beribadat baik agama Islam atau agama bukan Islam, tanganilah dengan berhati-hati dan penuh sensitif supaya kita dapat menyelesaikan sesuatu isu itu dengan baik.

Saya difahamkan oleh rakan-rakan saya di DUN Selangor bahawa Kerajaan Negeri Selangor ada memperuntukan RM3 juta setiap tahun untuk tempat-tempat beribadat agama bukan Islam. Saya menyeru Kerajaan Negeri Sembilan supaya memberikan satu peruntukan khas tetap tahunan kepada tempat-tempat beribadat agama bukan Islam di seluruh Negeri Sembilan. Walaupun kita tidak ada satu kepala khas untuk tujuan ini, namun saya ingin mencadangkan di dalam Dewan yang mulia ini supaya daripada peruntukan P50-Pejabat Menteri Besar diperuntukkan sebanyak 20% daripada peruntukan RM10 juta yang dimaksudkan atau sebanyak RM2 juta setiap tahun untuk tujuan ini. Saya berharap cadangan ini dapat dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh Kerajaan Negeri.

Peruntukan Projek-projek Kecil ADUN

Kita sedang memasuki musim panas bahang pilihanraya. Memang saya telah menjangkakan bahawa peruntukan untuk P-56 –Kerja-kerja Kecil untuk ADUN Barisan Nasional akan ditambah peruntukannya. Tepat jangkaan saya. Dengan pertambahan sebanyak RM50,000 untuk setiap kawasan BN dalam tahun pilihanraya, maka ini akan dijadikan umpan untuk memancing undi. Saya tetap berpegang kepada prinsip bahawa selagi peruntukan ini tidak diagihkan secara samarata di semua kawasan termasuk kawasan pembangkang yang dipilih oleh rakyat, selagi itulah dasar ini tidak adil dan bersifat diskriminasi.

Saya tahu apa jawapan yang akan diberi oleh pihak kerajaan. Panggil saya masuk Barisan Nasional dahulu sekiranya mahu peruntukan ini. Ini mentaliti kelas ketiga. Saya nak menegaskan dalam Dewan yang mulia ini bahawa saya berpegang kuat kepada prinsip perjuangan politik saya dan saya mempunyai kepercayaan 100% kepada parti saya. Saya tidak akan berpaling tadah walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan kekangan berada di barisan pembangkang di Malaysia. Tak seperti sesetengah pihak yang tidak dapat mengharungi ujian diri menghadapi cabaran dan rintangan berada di pembangkang dan dengan mudah berpaling tadah untuk menikmati kesenangan dan keselesaan.

Dalam realiti politik di Malaysia, saya sedar bahawa kerajaan yang ada sekarang tidak akan mengubah dasar ini pada masa yang terdekat yang selama ini menjadi modal politik mereka. Namun, saya berharap kerajaan menyedari bahawa pengundi-pengundi hari ini adalah lebih terdidik dan terdedah kepada dunia luar. Mereka mahu melihat satu sistem pentadbiran yang lebih adil, kerajaan yang menghormati sistem demokrasi dan kerajaan yang menghormati hak dan pilihan mereka.

Isu tanah SMJK Chi Wen Bahau

Salah satu faktor yang menyebabkan kekalahan calon BN di DUN Bahau dalam pilihanraya umum 2004 ialah disebabkan oleh isu tanah yang melibatkan tempat letak basikal SMJK Chi Wen Bahau. Tanah sekolah tersebut telah berkurangan kerana pembangunan kawasan komersial di sebelah. Baru-baru ini, dalam satu majlis di Bahau, YAB Rantau telah menyatakan bahawa kerajaan akan menyelesaikan sekiranya BN memenangi kerusi DUN Bahau dalam pilihanraya yang akan datang. Saya berasa amat dukacita dengan kenyataan ini. Kenyataan ini seolah-olah mengugut pengundi-pengundi Bahau supaya mesti memilih calon BN.
YAB Rantau merupakan ahli politik yang bertaraf Menteri Besar, Ketua Kerajaan Negeri. Tak perlulah politicking sampai ke tahap ini. Menang atau kalah dalam pilihanraya adalah “secondary issue”. Yang penting, masalah rakyat kita utamakan dan perjuangkan dahulu. Sekiranya kerajaan BN ikhlas dalam menyelesaikan isu tanah Sekolah Chi Wen ini, selesaikanlah dahulu masalah ini sebelum pilihanraya. “Let the people of Bahau be the judge whether they want DAP or BN”.

Kalau saya menggunakan satu analogi yang mudah, pilihanraya seolah-olah satu pertandingan tinju di antara dua peserta. Namun, sekiranya salah satu peserta iaitu kita di pihak pembangkang diikat kakinya sampai tidak boleh bergerak di atas gelanggang, ini tidak merupakan satu perlawanan yang adil. Tetapi sekarang ini, bukan sahaja kaki kita diikat, malah tangan pun diikat. Kalau kedua-dua tangan dan kaki diikat, tak perlulah lawan, tak perlu ada pilihanraya. Kalau nak fight, “fight like a gentleman”.

SJK © di Seremban 2

Salah satu kriteria yang utama dalam sebuah Bandar terancang ialah kemudahan sosial dan pendidikan yang mencukupi. Di Negeri Sembilan, salah satu Bandar terancang yang paling pesat membangun ialah di Bandar Seremban 2. Namun setakat ini, belum ada lagi sebuah SJKC di Seremban 2. Masyarakat Tionghua di Seremban 2 amat mengharapkan pembinaan sebuah SJKC di kawasan tersebut memandangkan permintaan yang tinggi. Pada masa sekarang, ibubapa yang ingin menghantar anak-anak mereka belajar di SJKC perlu pergi ke sekolah-sekolah yang berjauhan dari Seremban 2 seperti di Lobak, Mambau dan kawasan Bandar dan ini menyebabkan kesesakan pelajar di sekolah-sekolah ini dan kesesakan lalulintas.

Walaupun pembinaan sekolah bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan perlu mendapat kelulusan dan peruntukan dari Kementerian Pelajaran, saya menyeru pihak kerajaan negeri memberikan sokongan kepada permintaan ini. Saya berharap kerajaan negeri akan berusaha mewujudkan sebuah SJKC di Seremban 2 untuk melengkapkan permintaan pendidikan masyarakat setempat di Bandar terancang tersebut.

Lebuhraya Seremban-Port Dickson

Baru-baru ini telah diumumkan bahawa kadar tol untuk Lebuhraya Seremban ke Port Dickson akan dinaikkan 10% dari RM2.90 ke RM3.20 mulai 1 Januari 2008. Mengikut Menterinya, kadar tol untuk lebuhraya ini dibenar untuk dinaikkan oleh kerana tidak ada permintaan kepada lebuhraya ini. Naik sampai RM100 atau turun sampai 10 sen pun tidak ada beza, katanya. Sekiranya benar tiada orang yang mahu menggunakan lebuhraya ini, mengapa lebuhraya ini diluluskan dan dibina sama sekali?

Sebenarnya, bukan tidak ada orang yang ingin menggunakan lebuhraya ini, hanya kadar tol yang dikenakan adalah terlalu tinggi untuk jarak yang dekat. Contohnya, mereka yang masuk melalui persimpangan Mambau dan keluar di persimpangan Lukut, kadar tol yang dibayar adalah sama pada harga RM2.90 pada kadar sekarang dan RM3.20 mulai 1 Januari 2008.
Sepatutnya kadar tol untuk lebuhraya ini diturunkan dan bukannya dinaikkan. Kenaikan tol ini langsung tidak akan menggalakkan orang ramai menggunakan lebuhraya ini. Saya menyeru Kerajaan Negeri berbincang semula dengan Kerajaan Persekutuan mengenai perkara ini dan khasnya ialah supaya mereka yang keluar di persimpangan Springhill dan Lukut sepatutnya dikenakan tol yang lebih rendah mengikut jarak jalan yang mereka lalui.
Penurunan kadar tol sekiranya dipertimbangkan akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk-penduduk di daerah Port Dickson khasnya di Lukut malah ia juga menggalakkan dan memudahkan para pelancong yang menuju ke destinasi mereka di Port Dickson secara mudah dan selamat.


-Loke Siew Fook-
Read more!

Monday, November 12, 2007

Speech at NS State Assembly

Ucapan oleh Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan dan ADUN Kawasan Lobak, Loke Siew Fook dalam perbahasan usul menyampaikan ucapan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atas Titah Ucapan Baginda bagi merasmikan Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Yang Kesebelas, Negeri Sembilan pada hari Isnin, 16 April 2007.

Pendahuluan

Saya bangun untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan usul menyampaikan ucapan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atas Titah Ucapan Baginda bagi merasmikan Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Yang Kesebelas, Negeri Sembilan.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kerana sudi menyampaikan Titah Ucapan Baginda pada hari Jumaat yang lepas.

Saya juga mengalu-alukan perubahan pada kali ini iaitu pembukaan rasmi persidangan DUN telah dipinda ke permulaan tahun seiring dengan konvensyen Parlimen Malaysia


Kesan FTA terhadap Projek National Feedlot dan Pusat Boioteknologi

Umum diketahui bahawa perundingan Perjanjian Perdagangan Bebas atau FTA di antara Amerika Syarikat dan Malaysia masih sedang giat dijalankan dan belum lagi dimeterai. Perdebatan mengenai kesan atau impak FTA terhadap negara tidak sepatutnya terhad di Parlimen sahaja malah ia perlu lebih aktif dibincangkan di peringkat Dewan Undangan Negeri kerana ia pada akhirnya memberikan kesan kepada seluruh Negara dan setiap lapisan masyarakat.

Saya ingin memfokuskan perbahasan saya mengenai kesan FTA ini kepada dua sektor yang saya rasa amat penting dan bersangkut paut dengan masa depan ekonomi Negeri Sembilan. Yang pertama industri penternakan lembu atau lebih spesifik lagi Projek National Feedlot dan yang kedua Projek Pusat Bioteknologi di Bandar Baru Nilai.

Idea “beef valley” yang diilhamkan oleh Kerajaan Negeri telah dijadkan sebagai projek National Feedlot Center di Gemas. Kerajaan Pusat melalui Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengumumkan bahawa “beef valley” 2000 hektar ini akan dijadikan sebagai national feedlot dan menjadikan Negeri Sembilan sebagai pengeluar daging lembu terbesar d Malaysia. Pengeluaran daging lembu tempatan dijangka meningkat sehingga 34% berbanding 20% pada masa kini apabila projek ini dijalankan.

Dalam satu laporan Bernama pada 6 April 2006, beliau mengatakan pusat itu boleh menempatkan 150,000 ekor lembu yang boleh menghaasilkan 15,000 metric ton daging lembu yang bernilai RM230 juta setahun. Pada 11 Ogos 2006, semasa mengumumkan pelancaran National Feedlot Corporation Berhad di Seremban, beliau pula memberikan angka yang berlainan iaitu bahawa 60,000 ekor lembu akan ditempatkan di NFC yang dianggarkan menjana nilai sebanyak RM680 juta setahun. Yang mana satu nilai ini yang tepat?

Walaubagaimanapun, ini merupakan satu industri yang mempunyai potensi yang besar dan kita semua melihat projek ini berjaya dan menjadikan industri penternakan lembu ini menjadi salah satu enjin penjana ekonomi Negeri Sembilan. Oleh kerana itu, kita sebagai ADUN yang terlibat dalam proses membuat dasar perlu peka kepada faktor-faktor luaran yang mungkin boleh memberi kesan negatif kepada usaha-usaha ini.

Sekiranya Malaysia menandatangani FTA dengan Amerika Syarikat, salah satu industri yang akan dibuka pasarannya kepada produk US ialah pertanian dan ini melibatkan produk daging lembu. Memang Kerajaan Malaysia telah membuka semula pasarannya kepada daging lembu Amerka Syarikat pada tahun 2006 selepas beberapa tahun dilarang kemasukkannya yang disebabkan dengan isu “Mad Cow Disease”. Sekiranya FTA dimeterai, maka tariff import sebanyak 5% yang dikenakan pada masa kini akan dihapuskan dan tidak dikenakan tariff langsung.

Persoalan yang utama ialah samada pasaran kita akan dibanjiri dengan produk daging lembu import dari Amerika Syarikat dan adakah ini akan memberi kesan negatif kepada industri daging lembu tempatan dan menjejaskan usaha projek National Feedlot ini? Adakah kita mampu bersaing dalam pasaran sebegitu? Bukan saya tidak yakin kepada kemampuan kita sendiri tetapi hakikatnya, daging lembu keluaran Amerika Syarikat dan industri asas tani mereka mendapat subsidi yang begitu banyak di US dan mereka mempunyai kelebihan “economic of scale”.

Tambahan pula, mengikut satu laporan, 17% kos pengeluaran daging lembu ialah kos untuk makanan haiwan. Dan kebanyakan makanan-makanan haiwan ini mendapat subsidi yang tinggi di Amerika Syarikat maka ini membantu mereka untuk mengurangkan kos pengeluaran. Dengan adanya FTA, mereka boleh memasuki pasaran Malaysia secara bebas dan adakah kita bersedia dengan saingan yang sengit ini apabila kita hanya bermula pada masa kini? Saya rasa isu ini perlu dipertimbangkan oleh kerajaan negeri dan memberi maklum balas kepada Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa yang bertanggungjawab dengan perjanjian FTA.

Dalam ucapan Tuanku, Baginda juga ada menasihatkan penternak dan usahawan tempatan supaya mengambil pelbagai peluang yang ada dari pelaksanaan projek ini. Para penternak harus mengambil peluang daripada pengwujudan Ladang-ladang Satelit yang akan menjadi antara pembekal lembu ke Pusat ini. Saya menyambut baik nasihat dan cadangan Baginda supaya lebih ramai usahawan tempatan menceburi industri ini yang mempunyai potensi besar dan mengharapkan sektor swasta akan memberi suntikan dinamik kepada industri ini dan menghasilkan produk “value added”.

Namun, saya rasa rakyat tempatan masih tidak mempunyai kesedaran dan pemahaman yang tinggi mengenai peluang-peluang ini dan masih banyak penerangan perlu diberikan kepada orang ramai terutamanya bakal usahawan-usahawan muda. Saya ingin mencadangkan kepada pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) supaya lebih pro-aktif menjalankan “roadshow” penerangan kepada pihak-pihak berkaitan di Negeri Sembilan seperti Dewan-dewan perniagaan dan perindustrian Melayu, Cina dan India, persatuan-persatuan penternak, badan-badan usahawan belia dan sebagainya untuk menjana lebih banyak “domestic investment” dalam industri ini.

FTA juga dibimbangi akan memberi kesan dan impak kepada industri bioteknolgi dan perkembangan industri ini kini ditumpukan di Nilai. FTA dengan Amerika Syarikat akan mengetatkan “Intellectual Property Rights” (IPR) dan ini akan menyebabkan tempoh perlindungan patent yang dikenakan ke atas sesuatu hasil innovasi dipanjangkan. Ini akan menyebabkan kos untuk membuat penyelidikan atau R&D lebih mahal kerana alat-alat dan teknik-teknik penyelidikan akan dilindungi patent.

Industri bioteknologi kita memerlukan satu landasan untuk pelancaran yang lebih murah dan dengan adanya FTA dengan US, adalah dibimbangi bahawa pelbagai rintangan dan kekangan akan dikenakan untuk menyusahkan pemindahan teknologi ke Negara kita.

Oleh kerana kedua-kedua projek ini merupakan “High Impact” kepada Negeri Sembilan, saya menyeru Kerajaan Negeri mengkaji dengan sedalam-dalamnya semua faktor dalamam dan luaran untuk memastikan kejayaan kedua-dua projek ini di Negeri Sembilan terutamanya kesan FTA yang bakal dihadapi oleh kedua-dua industri ini kelak supaya kita boleh membuat sesuatu sebelum perjanjian itu dimeterai.

Dasar Jaringan Keselamatan Sosial

Saya juga ingin menyentuh mengenai Dasar Jaringan Keselamatan Sosial atau Social Safety Net yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan. Walaupun matlamat dasar ini memang dialu-alukan tetapi apa yang lebih penting ialah penyampaiannya dan pelaksanaannya. Sehingga kini, hamper lebih 4 bulan dasar ini diumumkan, orang ramai masih kabur terhadap dasar ini.

Apakah mekanisma untuk melaksanakan dasar ini? Siapakah agensi pelaksana? Apakah program-program yang boleh dipohon? Dan apakah syarat-syarat dan kelayakan untuk seseorang untuk memohon safety net ini? Ini persoalan-persoalan yang perlu diberi penerangan selua-luasnya oleh pihak kerajaan negeri.

Mengenai dasar kebajikan, saya juga ingin menyentuh mengenai Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan dikendalikan oleh pihak PBT. Saya telah mengemukakan lebih 10 permohonan dalam program sejak bulan Disember yang lepas tetap sehingga kini masih tidak ada jawapan langsung. Pemohon juga tidak dipanggil untuk temuduga mahupun dilawati pegawai-pegawai berkuasa.

Apa yang lebih mendukacitakan ialah dalam borang permohonan tersebut, masih ada satu ruang “Bangsa” – untuk ditandakan – Melayu, Cina, India dan Lain-lain. Mengapa perlu ada ruang ini? Bukankah program bantuan seumpama ini sepatutnya “colour blind” atau membantu golongan yang memerlukannya tanpa mengira latarbelakang kaum? YAB Menteri Besar selalu mengingatkan kami bahawa dalam Malaysia tidak ada Bangsa Melayu, Bangsa Cina atau Bangsa India. Kita semua merupakan Bangsa Malaysia daripada pelbagai keturunan dan etknik. Jadi adalah mengecewakan apabila kita masih melihat dokumen-dokumen kerajaan masih mengasing-asingkan kita. Saya menyeru YAB supaya dapat menasihatkan pihak-pihak berkuasa dan kementerian supaya lebih peka dan sensitif dalam hal seumpama ini dalam pada kita menyambut Kemerdekaan Malaysia yang Ke-50 tahun ini. Read more!

Friday, October 12, 2007

Welcome to my Blog!


Thank you for visiting my blog. This is my first post in this blog. I hope to communicate better with my constituents through this blog and as a gateway to reach to more people especially the young ones. I will post my thoughts and all my press conferences to this blog. As most of you know, the news of the opposition mainly appeared in the Chinese media and hence many who reads English newspaper wouldn't know what your "wakil rakyat" is doing. I hope with this blog, the people of Seremban and NS in particular and Malaysians in general will know what's going on in the public affairs concerning this lovely town!
Read more!