Ucapan oleh Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan dan ADUN Kawasan Lobak, Loke Siew Fook dalam perbahasan usul menyampaikan ucapan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atas Titah Ucapan Baginda bagi merasmikan Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Yang Kesebelas, Negeri Sembilan pada hari Isnin, 16 April 2007.
Pendahuluan
Saya bangun untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan usul menyampaikan ucapan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atas Titah Ucapan Baginda bagi merasmikan Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Yang Kesebelas, Negeri Sembilan.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kerana sudi menyampaikan Titah Ucapan Baginda pada hari Jumaat yang lepas.
Saya juga mengalu-alukan perubahan pada kali ini iaitu pembukaan rasmi persidangan DUN telah dipinda ke permulaan tahun seiring dengan konvensyen Parlimen Malaysia
Kesan FTA terhadap Projek National Feedlot dan Pusat Boioteknologi
Umum diketahui bahawa perundingan Perjanjian Perdagangan Bebas atau FTA di antara Amerika Syarikat dan Malaysia masih sedang giat dijalankan dan belum lagi dimeterai. Perdebatan mengenai kesan atau impak FTA terhadap negara tidak sepatutnya terhad di Parlimen sahaja malah ia perlu lebih aktif dibincangkan di peringkat Dewan Undangan Negeri kerana ia pada akhirnya memberikan kesan kepada seluruh Negara dan setiap lapisan masyarakat.
Saya ingin memfokuskan perbahasan saya mengenai kesan FTA ini kepada dua sektor yang saya rasa amat penting dan bersangkut paut dengan masa depan ekonomi Negeri Sembilan. Yang pertama industri penternakan lembu atau lebih spesifik lagi Projek National Feedlot dan yang kedua Projek Pusat Bioteknologi di Bandar Baru Nilai.
Idea “beef valley” yang diilhamkan oleh Kerajaan Negeri telah dijadkan sebagai projek National Feedlot Center di Gemas. Kerajaan Pusat melalui Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengumumkan bahawa “beef valley” 2000 hektar ini akan dijadikan sebagai national feedlot dan menjadikan Negeri Sembilan sebagai pengeluar daging lembu terbesar d Malaysia. Pengeluaran daging lembu tempatan dijangka meningkat sehingga 34% berbanding 20% pada masa kini apabila projek ini dijalankan.
Dalam satu laporan Bernama pada 6 April 2006, beliau mengatakan pusat itu boleh menempatkan 150,000 ekor lembu yang boleh menghaasilkan 15,000 metric ton daging lembu yang bernilai RM230 juta setahun. Pada 11 Ogos 2006, semasa mengumumkan pelancaran National Feedlot Corporation Berhad di Seremban, beliau pula memberikan angka yang berlainan iaitu bahawa 60,000 ekor lembu akan ditempatkan di NFC yang dianggarkan menjana nilai sebanyak RM680 juta setahun. Yang mana satu nilai ini yang tepat?
Walaubagaimanapun, ini merupakan satu industri yang mempunyai potensi yang besar dan kita semua melihat projek ini berjaya dan menjadikan industri penternakan lembu ini menjadi salah satu enjin penjana ekonomi Negeri Sembilan. Oleh kerana itu, kita sebagai ADUN yang terlibat dalam proses membuat dasar perlu peka kepada faktor-faktor luaran yang mungkin boleh memberi kesan negatif kepada usaha-usaha ini.
Sekiranya Malaysia menandatangani FTA dengan Amerika Syarikat, salah satu industri yang akan dibuka pasarannya kepada produk US ialah pertanian dan ini melibatkan produk daging lembu. Memang Kerajaan Malaysia telah membuka semula pasarannya kepada daging lembu Amerka Syarikat pada tahun 2006 selepas beberapa tahun dilarang kemasukkannya yang disebabkan dengan isu “Mad Cow Disease”. Sekiranya FTA dimeterai, maka tariff import sebanyak 5% yang dikenakan pada masa kini akan dihapuskan dan tidak dikenakan tariff langsung.
Persoalan yang utama ialah samada pasaran kita akan dibanjiri dengan produk daging lembu import dari Amerika Syarikat dan adakah ini akan memberi kesan negatif kepada industri daging lembu tempatan dan menjejaskan usaha projek National Feedlot ini? Adakah kita mampu bersaing dalam pasaran sebegitu? Bukan saya tidak yakin kepada kemampuan kita sendiri tetapi hakikatnya, daging lembu keluaran Amerika Syarikat dan industri asas tani mereka mendapat subsidi yang begitu banyak di US dan mereka mempunyai kelebihan “economic of scale”.
Tambahan pula, mengikut satu laporan, 17% kos pengeluaran daging lembu ialah kos untuk makanan haiwan. Dan kebanyakan makanan-makanan haiwan ini mendapat subsidi yang tinggi di Amerika Syarikat maka ini membantu mereka untuk mengurangkan kos pengeluaran. Dengan adanya FTA, mereka boleh memasuki pasaran Malaysia secara bebas dan adakah kita bersedia dengan saingan yang sengit ini apabila kita hanya bermula pada masa kini? Saya rasa isu ini perlu dipertimbangkan oleh kerajaan negeri dan memberi maklum balas kepada Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa yang bertanggungjawab dengan perjanjian FTA.
Dalam ucapan Tuanku, Baginda juga ada menasihatkan penternak dan usahawan tempatan supaya mengambil pelbagai peluang yang ada dari pelaksanaan projek ini. Para penternak harus mengambil peluang daripada pengwujudan Ladang-ladang Satelit yang akan menjadi antara pembekal lembu ke Pusat ini. Saya menyambut baik nasihat dan cadangan Baginda supaya lebih ramai usahawan tempatan menceburi industri ini yang mempunyai potensi besar dan mengharapkan sektor swasta akan memberi suntikan dinamik kepada industri ini dan menghasilkan produk “value added”.
Namun, saya rasa rakyat tempatan masih tidak mempunyai kesedaran dan pemahaman yang tinggi mengenai peluang-peluang ini dan masih banyak penerangan perlu diberikan kepada orang ramai terutamanya bakal usahawan-usahawan muda. Saya ingin mencadangkan kepada pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) supaya lebih pro-aktif menjalankan “roadshow” penerangan kepada pihak-pihak berkaitan di Negeri Sembilan seperti Dewan-dewan perniagaan dan perindustrian Melayu, Cina dan India, persatuan-persatuan penternak, badan-badan usahawan belia dan sebagainya untuk menjana lebih banyak “domestic investment” dalam industri ini.
FTA juga dibimbangi akan memberi kesan dan impak kepada industri bioteknolgi dan perkembangan industri ini kini ditumpukan di Nilai. FTA dengan Amerika Syarikat akan mengetatkan “Intellectual Property Rights” (IPR) dan ini akan menyebabkan tempoh perlindungan patent yang dikenakan ke atas sesuatu hasil innovasi dipanjangkan. Ini akan menyebabkan kos untuk membuat penyelidikan atau R&D lebih mahal kerana alat-alat dan teknik-teknik penyelidikan akan dilindungi patent.
Industri bioteknologi kita memerlukan satu landasan untuk pelancaran yang lebih murah dan dengan adanya FTA dengan US, adalah dibimbangi bahawa pelbagai rintangan dan kekangan akan dikenakan untuk menyusahkan pemindahan teknologi ke Negara kita.
Oleh kerana kedua-kedua projek ini merupakan “High Impact” kepada Negeri Sembilan, saya menyeru Kerajaan Negeri mengkaji dengan sedalam-dalamnya semua faktor dalamam dan luaran untuk memastikan kejayaan kedua-dua projek ini di Negeri Sembilan terutamanya kesan FTA yang bakal dihadapi oleh kedua-dua industri ini kelak supaya kita boleh membuat sesuatu sebelum perjanjian itu dimeterai.
Dasar Jaringan Keselamatan Sosial
Saya juga ingin menyentuh mengenai Dasar Jaringan Keselamatan Sosial atau Social Safety Net yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan. Walaupun matlamat dasar ini memang dialu-alukan tetapi apa yang lebih penting ialah penyampaiannya dan pelaksanaannya. Sehingga kini, hamper lebih 4 bulan dasar ini diumumkan, orang ramai masih kabur terhadap dasar ini.
Apakah mekanisma untuk melaksanakan dasar ini? Siapakah agensi pelaksana? Apakah program-program yang boleh dipohon? Dan apakah syarat-syarat dan kelayakan untuk seseorang untuk memohon safety net ini? Ini persoalan-persoalan yang perlu diberi penerangan selua-luasnya oleh pihak kerajaan negeri.
Mengenai dasar kebajikan, saya juga ingin menyentuh mengenai Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan dikendalikan oleh pihak PBT. Saya telah mengemukakan lebih 10 permohonan dalam program sejak bulan Disember yang lepas tetap sehingga kini masih tidak ada jawapan langsung. Pemohon juga tidak dipanggil untuk temuduga mahupun dilawati pegawai-pegawai berkuasa.
Apa yang lebih mendukacitakan ialah dalam borang permohonan tersebut, masih ada satu ruang “Bangsa” – untuk ditandakan – Melayu, Cina, India dan Lain-lain. Mengapa perlu ada ruang ini? Bukankah program bantuan seumpama ini sepatutnya “colour blind” atau membantu golongan yang memerlukannya tanpa mengira latarbelakang kaum? YAB Menteri Besar selalu mengingatkan kami bahawa dalam Malaysia tidak ada Bangsa Melayu, Bangsa Cina atau Bangsa India. Kita semua merupakan Bangsa Malaysia daripada pelbagai keturunan dan etknik. Jadi adalah mengecewakan apabila kita masih melihat dokumen-dokumen kerajaan masih mengasing-asingkan kita. Saya menyeru YAB supaya dapat menasihatkan pihak-pihak berkuasa dan kementerian supaya lebih peka dan sensitif dalam hal seumpama ini dalam pada kita menyambut Kemerdekaan Malaysia yang Ke-50 tahun ini.
Read more!
Monday, November 12, 2007
Speech at NS State Assembly
Subscribe to:
Posts (Atom)