Saturday, January 24, 2009

Pilihanraya kecil Kuala Terengganu pemangkin kekuatan Pakatan Rakyat

Pilihanraya kecil Kuala Terengganu yang telah diadakan pada 17 Januari 2009 bakal menjadi satu rujukan sejarah dalam proses perubahan landskap politik negara dalam tahun-tahun yang akan datang. Kemenangan manis calon Pakatan Rakyat Abdul Wahid Endut dari PAS dengan majoriti 2,631 undi akan menjadi pemangkin kepada proses pengukuhan struktur Pakatan Rakyat dan seterusnya menguatkan PR sebagai satu gerakan politik yang benar-benar boleh mencabar keangkuhan kuasa Barisan Nasional dan menjadi alternatif sebagai Kerajaan Persekutuan.

Sepanjang kempen PRK, BN mencuba sedaya upaya melalui kempen propaganda mereka dengan menggambarkan PR sebagai satu pakatan yang tidak mempunyai daya untuk menjadi alternatif kepada BN. Saban hari, berita kononnya “PR mula retak dan keretakan semakin parah” terpampang dalam muka depan media arus perdana. Propaganda yang ingin disampaikan oleh BN ialah bahawa hanya Barisan Nasional pimpinan UMNO sahaja yang boleh menerajui negara ini dan sebarang usaha oleh parti lain tidak akan berjaya. Atau bahasa mudah, hanya UMNO yang boleh mentadbir Malaysia “dulu, kini dan selama-lamanya”. Namun, keputusan yang memihak kepada PR memberikan tamparan hebat buat UMNO dan memperkuatkan hujah kami bahawa tidak ada sebuah parti politik di dunia yang boleh berkuasa selama-lamanya.

Pengundi di Kuala Terengganu memang bijak dan tidak termakan dengan tipu helah dan tohmahan UMNO dan BN. Dari hari penamaan calon lagi, saya telah menyangkakan apa strategi yang bakal digunakan oleh mereka. Banner yang paling besar yang ditonjolkan oleh UMNO di pusat penamaan calon berbunyi “PAS boneka DAP”. Propagandanya ialah PAS sudah hilang taring dan tidak boleh diharapkan untuk mempertahankan hak Melayu dan Islam. DAP digambarkan sebagai musuh Melayu dan Islam dan PAS sanggup diperalatkan oleh “musuh besar” Islam semata-mata untuk mendapatkan kuasa. UMNO yakin slogan ini dapat menakutkan pengundi Melayu dan menarik sokongan kumpulan ini kepada mereka. Keputusannya, pengundi Melayu menolak tohmahan ini dan menyetujui pakatan di antara PAS, DAP dan PKR. Ini mesej yang cukup jelas.

Strategi kedua pula menggunakan propaganda yang berlainan untuk menakutkan masyarakat Cina. Kononnya, DAP “meniduri” PAS untuk cuba mendapat kuasa dan dalam proses tersebut, hak masyarakat Cina akan tergadai kerana PAS ialah parti ekstrem yang akan memotong tangan dan kaki, menutup karaoke, menghapuskan tokong dan tindakan-tindakan lain yang akan mengugat cara kehidupan masyarat Cina. Inilah modus operandi kempen MCA untuk mengugut mereka yang bersimpati dengan DAP supaya tidak berpihak kepada PAS. Keputusannya, ugutan dan penipuan seumpama ini tidak lagi seefektif seperti tahun 1999 yang diharapkan oleh MCA. Saya tidak menafikan kempen negatif MCA ini sedikit sebanyak masih mempengaruhi sebahagian kecil pengundi Cina Kuala Terengganu sehingga menimbulkan rasa dilema dan ada yang tidak berani keluar mengundi. Masyarakat peniaga bimbang bahawa sekiranya undi Cina berpihak kepada PR, maka mereka akan “dihukum” selepas PRK seperti lesen perniagaan ditarik balik dan sebagainya. Namun secara keseluruhannya, masih terdapat kira-kira 40% pengundi Cina yang memberanikan diri dan memberikan undi mereka kepada PR. 2,000 hingga 3,000 undi ini cukup signifikan untuk memberikan majoriti yang selesa untuk PR.

Apa yang boleh dirumuskan daripada PRK Kuala Terengganu ini? Saya melihat dari sudut bahawa kempen yang sering digunapakai oleh BN selama ini tidak lagi efektif dan tidak akan mempengaruhi pengundi. Kempen-kempen negatif BN yang cuba mengugut dan menakutkan pengundi memakan dirinya sendiri. Dan seperkara yang lain ialah “politik pembangunan” yang sering ditonjolkan oleh BN pun dah semakin basi. Rakyat tidak lagi percaya dan merasa terhutang budi kepada BN hanya dengan melaksanakan projek-projek komestik seperti menurap semula jalan, membuat longkang baru dan projek-projek infrastruktur asas. Bagi pengundi, kerja-kerja ini adalah satu kewajipan pihak berkuasa yang mengutip cukai dan tidak ada alasan langsung bagi BN untuk “menuntut kredit politik” daripada pelaksanaannya. Dan mengapa pula hanya musim pilihanraya kelihatan pihak berkuasa tempatan begitu rajin dan prihatin kepada aduan orang ramai?

Kempen BN sentiasa berkisar kepada habuan atau $. Daripada pemberian wang ehsan, peruntukan kepada persatuan Cina hinggalah ke majlis-majlis makan malam percuma, semuanya bersangkut-paut dengan pulangan yang boleh dinilai. Jentera BN tidak akan berjalan selagi kekurangan “minyak pelincir” berjenama RM. Tetapi untuk PR pula, semangat dan motivasi yang cukup berlainan. Umum diketahui bahawa petugas-petugas dan ahli-ahli PAS cukup komited kepada perjuangan parti dan mereka tidak mengharapkan apa-apa habuan hasil daripada penat lelah mereka. Begitu juga keadaannya dengan ahli-ahli dan pendokong DAP dan PKR. Bagi DAP pula, kami telah menyemai satu budaya bahawa menyokong perjuangan DAP bukan sahaja tidak menjanjikan apa-apa habuan malah memerlukan sedikit pengorbanan. Contohnya, dalam kempen PRK Kuala Terengganu, DAP telah menganjurkan 3 majlis makan malam yang perlu dibayar di antara RM10 hingga RM30 untuk mereka yang datang berbanding dengan majlis makan malam yang dianjurkan oleh MCA yang sememangnya percuma. Tambahan pula, dalam setiap majlis makan malam yang merupakan pentas untuk ceramah politik itu, kutipan dana kempen akan dijalankan. Pada majlis makan malam yang pertama sahaja, kutipan derma telah mencecah RM6,000 daripada kira-kira 600 orang yang hadir.

Penglibatan DAP yang aktif dalam PRK ini menunjukkan komitmen kita bersama PR. Kita melihat kemenangan atau kekalahan dalam PRK ini akan melambangkan Pakatan Rakyat dan bukannya PAS semata-mata. Kita mengakui bahawa jentera pilihanraya DAP ada kekurangannya namun kekuatan DAP dalam menarik perhatian pengundi khasnya masyarakat Cina untuk mendengar ceramah pemimpin-pemimpinnya cukup untuk meniupkan angin perubahan yang menjatuhkan dacing di Kuala Terengganu. Kehadiran sebahagian besar pemimpin pusat DAP yang diketuai oleh Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang menggambarkan betapa besarnya harapan kita untuk melihat kemenangan PR.
Pada hemat saya, kejayaan yang paling besar untuk PR di Kuala Terengganu ialah kita berjaya melenyapkan sebarang perasaan syak wasangka kepada kewujudan PR dan memperkuatkan keyakinan untuk ketiga-tiga parti untuk terus mara bersama. Cabaran untuk seluruh PR sekarang ialah bagaimana kita memperkukuhkan lagi struktur dalamannya dan menggerakkan segala kekuatan bersama untuk menewaskan BN. Kita juga perlu sentiasa memperingati objektif kewujudan PR iaitu membawa perubahan politik yang menjanjikan kerajaan yang bersih, adil dan saksama. Dasar dan pelaksanaan program perlulah mendapat persetujuan bersama dan serentak. Isu hukum hudud perlu ditangani dan saya yakin tentu ada jalan penyelesaiannya. Pemimpin-pemimpin utama PR mempunyai kebijaksanaan politik yang cukup terserlah dan kini masanya untuk mengoptimakan kelebihan tersebut. Tanggungjawab dan harapan menggunung menanti kita bersama.

-Loke Siew Fook-
.

1 comment:

Anonymous said...

there are positive campaigning where you talk up yourself as a candidate; or negative campaigining i.we. talk down your opponent.

when one adopt the second, it can amount to ploy to conceal its own lack of ability to bring in the positives

Regards
Lee Wee Tak