Thursday, May 28, 2009

Satu Malaysia dan Malaysian Malaysia

Apabila setiap Perdana Menteri baru mengambil alih tampuk pemerintahan negara dan menduduki Seri Perdana, maka sudah pasti ada satu slogan baru yang dilafazkannya dan slogan tersebut akan digembar-gemburkan oleh agen propagandis Barisan Nasional seperti RTM dan Utusan Malaysia sebagai panduan falsafah pentadbiran baru. Sekiranya diimbas kembali, Tun Dr Mahathir mempopularkan slogan “Bersih, Cekap dan Amanah” yang ingin menyakinkan rakyat Malaysia bahawa pentadbirannya akan bebas daripada rasuah dan kecekapan jabatan kerajaan akan dipertingkatkan. Pak Lah pula menggunakan slogan “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”. Katanya, Malaysia mempunyai “Infrastruktur Kelas Pertama tetapi Mentaliti Kelas Ketiga” jadi adalah menjadi harapan beliau untuk memacu negara kearah kecemerlangan dalam semua perkara dan melahirkan “Towering Malaysian”. Semuanya slogan yang begitu sedap didengar tetapi hakikat samada slogan tersebut dapat direalisasikan dalam erti kata yang sebenarnya dapat dijawab dalam hati setiap rakyat Malaysia.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada 3 April yang lalu, maka sudah tentu syarikat-syarikat “billboard” ada projek yang baru untuk menukar “billboard” di seluruh negara untuk menggantikan gambar Pak Lah dengan gambar Najib. Selain gambar, slogan pun kena diganti dari “Cemerlang, Gemilang, Terbilang” dengan ayat baru “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”. Namun, setelah 2 bulan berlalu tidak ramai rakyat Malaysia yang faham atau mengerti apa yang dimaksudkan “Satu Malaysia” ini. Adakah sebelum Najib menjadi Perdana Menteri terdapat dua atau tiga Malaysia di bumi ini?

Najib belum lagi memperincikan apa sebenarnya yang ingin dikecapi oleh beliau menerusi falsafah “Satu Malaysia” ini. Sehingga kini tiada seminar kebangsaan mahupun ucapan rasmi yang dibentangkan oleh Najib bagaimana rakyat Malaysia boleh bergerak seiring untuk mencapai destinasi “Satu Malaysia”. Yang telah dibuat ialah pertandingan fotografi “Satu Malaysia” dan pertandingan mencipta lagu “Satu Malaysia”. Sekali lagi, kita memperlihatkan Barisan Nasional mementingkan rupa (forms) daripada isi (substance).

Dengan kekurangan taksiran dan intipati kandungan apa itu “Satu Malaysia” maka janganlah Utusan Malaysia menyalahkan DAP dan pihak-pihak lain untuk cuba memberikan pengertian masing-masing bagaimana boleh mencapai objektif tersebut. Bagi DAP, pengertian “Satu Malaysia” agaklah mudah. Ia adalah manifestasi apa yang diperjuangkan dan dilaung-laungkan oleh DAP selama ini iaitu konsep “Malaysian Malaysia” atau Malaysia untuk rakyat Malaysia.

Sebenarnya konsep “Malaysian Malaysia” adalah agak mudah difahami. Ia memperjuangkan bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai tempat di bumi Malaysia ini. Setiap rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan taraf sosial perlu mempunyai hak dan peluang yang sama rata untuk belajar, bekerja, berniaga dan mengejar impian mereka dalam kehidupan tanpa apa-apa batasan dan diskriminasi.
Impian ini perlu diterjemahkan dalam bentuk dasar-dasar kerajaan yang bersifat adil dan memberi peluang saksama kepada semua rakyat Malaysia. Prinsip ini tidak sesekali bertujuan untuk mengorbankan hak dan kepentingan orang Melayu. Apa yang dititikberatkan ialah sekiranya ada golongan yang tidak mempunyai kapasiti untuk bersaing dengan golongan yang lain maka syarat untuk mendapatkan bantuan kerajaan ialah menggunakan indikator taraf sosio ekonomi orang tersebut dan bukannya latarbelakang kaumnya.

Sebagai contoh, geran bantuan daripada kerajaan untuk usahawan. Sekiranya seorang anak muda yang tidak ada modal tetapi beliau mempunyai satu idea yang baik atau menemui satu hasil penyelidikan yang boleh dimajukan secara komersial, maka beliau sepatutnya mempunyai peluang untuk mendapatkan geran daripada kerajaan. Samada dia seorang Melayu, Cina atau India adalah tidak penting. Sekiranya ada 2 pemohon yang mempunyai idea yang sama baik, seorang Melayu yang tiada modal dan seorang lagi pemohon Cina dari syarikat besar, maka orang yang sepatutnya mendapat geran itu ialah pemohon yang pertama. Begitu juga sekiranya keadaan sebaliknya dimana seorang anak muda India tiada modal dan pemohon Melayu tersebut pula dari syarikat korporat, maka geran tersebut sepatutnya diberikan kepada anak muda India tersebut.

Ini yang dinamakan sebagai “kesamarataan peluang” iaitu semua orang mempunyai peluang yang sama rata dalam semua bidang. Peluang bukan hanya diberikan atas dasar kebolehan seseorang itu tetapi juga melihat kepada latar belakang sosio ekonominya. Kemiskinan tidak boleh dilihat sebagai tembok kepada seseorang untuk mendapatkan peluang untuk maju ke hadapan.

UMNO sejak dulu lagi ingin meracuni minda orang Melayu bahawa konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP bertujuan untuk menyekat kemajuan anak-anak Melayu. Ini adalah tidak benar sama sekali. Dalam Perisytiharan Setapak 1967 lagi, (dokumen dasar DAP yang pertama) DAP telah mengkritik Perikatan pada ketika itu dalam kegagalan mereka memajukan masyarakat Melayu. Saya memetik satu perenggan dokumen tersebut seperti di bawah:

“However, the economic and educational imbalance as between the urban and rural areas does lend itself rather easily to being clothed in a communal garb, and it must be part of any enlightened socio-economic policy to remove this imbalance.

The DAP charges the Alliance government with not doing anything significant towards this end. Indeed, one of the most striking commentaries on Alliance in this respect is the fact that the great majority of Malay students in our university do Malay language and religious studies, whereas the crying need is surely for more and more Malays to become qualified in the modern disciplines of science, medicine, technology, economics, etc, so that Malays may be able to compete on equal terms with their fellow-Malaysians of Chinese or Indian origin, who are not in the habit of sending their offspring to centers of higher learning in order to become experts in Buddhism or the Bible or the Bhagavad Gita.

But apart from occasional lip service, the Alliance leadership has been gravely delinquent in regard to the positive encouragement of Malay students to qualify themselves in the more productive and sophisticated disciplines of modern knowledge.”

Ini adalah pemikiran pemimpin-pemimpin DAP pada tahun 1967 lagi. Adakah DAP tidak ingin melihat orang Melayu maju? Sekiranya pemimpin UMNO menerima teguran DAP pada ketika itu, maka negara kita mungkin tidak perlu melalui sejarah hitam Mei 13 untuk mengetahui ketidakseimbangan antara kaum dan wilayah.

Secara kesimpulannya, konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP bertujuan untuk memajukan negara dan memberikan kesaksamaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Kita ingin melihat semua kaum maju ke hadapan terutamanya masyarakat Melayu. Objektif murni Malaysian Malaysia tidak akan tercapai sekiranya majoriti rakyatnya mundur di belakang. Sudah sampai masanya negara kita bergerak ke hadapan daripada retorik-retorik lampau yang melaga-lagakan perasaan dengki antara kaum. Kalau benar Najib ingin memacu negara kita ke arah “Satu Malaysia yang bersatu-padu dan setiap rakyatnya berasa bangga sebagai rakyat Malaysia”, maka beliau harus mengiktiraf dan menerima perjuangan DAP selama ini.


Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Rasah dan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY)
Emel: siewfook@gmail.com
.

6 comments:

Lee Wee Tak said...

saya syorkan bahawa jika YAB PM ditanya apakah erti "Satu Malaysia", beliau baca sahaja apa YB Loke telah tulis. Bukan baca sahaja tetapi laksanakannya dengan ikhlas jujur dan diperkayakan lagi falsafah murni

Malaysia memang biasa diperintah dan ditadbir menerusi slogan sahaja. Cakap tak serupa bikin. Slogan itu pada zahirnya semacam siok sendiri tanpa hasil yang nyata, ketara dan sebenar tetapi mingkin nilai yang tersirat dan benar adalah rezeki kepada syarikat percetakan sahaja.

Lebih baik cukai dikutip daripada kita dilabur dalam bidang kesihatan, pelajaran, kebajikan. Tak payah siok sendiri buat iklan dan omong kosong. Buat kerja betul-betul rakyat sendiri tau kenal. Tak perlu ayam tak berteur pun riuh sekampung

P130 voter said...

YB Loke,

I am glad my Parliament representative is a thinking person.

I am glad my MP engage in proper dialogue and proper debate with the government, highlighting their shortfall in a civilized manner.

I am glad my MP is not busy being hounded by the PDRM. I believe a MP is a more effective tools for check & balance with the government whilst they are in the parliament and not in a lock-up.

Ask hard hitting questions to the government, put them on their toes, and if they try to avoid those question or give stupid answers, the rakyat will know what to do come PRU-13.

P130 voter

Gedong Lalang said...

Jika kita amati konsep Satu Malaysia yang diumumkan oleh Najib serupa dengan Konsep Malaysian Malaysia yang dianjurkan oleh DAP. Umno telah meracuni orang melayu bahawa konsep Malaysian Malaysia untuk menyekat kemajuan anak anak Melayu. Dengan mempromosikan Dasar Ekonomi Baru Umno gagal untuk menaikkan taraf ekonomi orang melayu kecuali kroni kroni.

Najib belum lagi memperincikan apa sebenarnya yang ingin dikecapi oleh beliau melalui falsafah Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, Prestasi Diutamakan. Sehingga kini tiada Seminar Kebangsaan mahupun ucapan resmi yang dibentangkan oleh Najib bagaimana rakyat Malaysia boleh bergerak seiring untuk mencapai destinasi Satu Malaysia.

Seandainya rakyat tidak diberitahu bagaimana konsep tersebut dijalankan maka ia tidak akan membawa erti. Kefahaman rakyat amat diperlukan untuk menjayakan konsep murni ini. Janganlah konsep ini hanya tinggal konsep tanpa apa tindakan diambil.

思问者 said...

好,喜欢你的工作,继续加油!

我们要的至少是你这样的人民代议士而不是恨不死绝的政客。

Bangsa Cina Malaysia said...

ASALAMUALAIKUM,

INGIN SAYA MENYEDARKAN SAUDARA ANTHONY LOKE UNTUK MEMBANTU MERAYU KAPADA JABATAN KESIHATAN NS BERTINDAK SEGERA MENUTUPKAN GELANGGANG MAKANAN BLOSSOM HEIGHT
KERANA TEMPAT INI AMAT KOTOR SEKALI.

SAUDARA BOLEH MEMANTAU DENGAN SENDIRI GELANGGANG MAKANAN INI DENGAN MATA SENDIRI BAHAWA SAYA TIDAK BERBOHONG.

SAMPAH SARAP MEMGELILINGI TEMPAT DI DALAM DAN DI LUAR AKIBAT PEMILIK YANG TIDAK BERTANGGUNG JAWAB.

JUGA SEMUA PENJAJA MAKANAN DI PAMIRKAN DENGAN PELEKAT "C"

ANJING DAN KUCING JUGA MENJADIKAN TEMPAT INI SEBAGAI SARANG MEREKA.

YANG PELIK SEKALI TIDAK ADA TINDAKAN UNDANG-UNDANG DI AMBIL SEHINGGA KINI.

DI HARAP PIHAK BERKUASA DI SEDARKAN
TENTANG TEMPAT YANG MENJIJIK KAN
INI.

SALAM SEJAHTERA DAN TERIMA KASIH.

Bangsa Cina Malaysia said...

Lee Kuan Yew IS VERY VERY HAPPY TO NOTE THAT MALAYSIA IS STILL FULL OF RUBBISH EVERYWHERE AND EVERYTHING IS IN AN DISORDERLY MANNER AND NOT A SINGLE PLACE THAT IS NEAT CLEAN AND IN ORDERLY FASHION.

HOPEFULLY LKY GET TO VISIT THE 'SEREMBAN MARKET' ACCOMPANIED BY OUR MB.

WITH MALAYSIAN THIRD WORLD MENTALITY SINGAPORE WILL PROSPER FOR ANOTHER 100 YEARS.