Thursday, August 21, 2008

Interest rate for housing loan averaged 4.62% in June

Soalan:

Tuan Loke Siew Fook (Rasah) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan sama ada Kerajaan bercadang untuk menurunkan kadar faedah pinjaman untuk pembeli rumah untuk menjana industri perumahan dan membantu golongan berpendapatan rendah supaya lebih mampu memiliki rumah milik sendiri. Sekiranya ya, bila dan berapa kadarnya. Sekiranya tidak, mengapa.

JAWAPAN:

Untuk makluman Yang Berhormat, kadar faedah untuk pinjaman perumahan baru pada Jun 2008 secara puratanya adalah 4.62% setahun. Kadar ini adalah lebih rendah berbanding purata kadar berian pinjaman asas (BLR) yang berada pada 6.72% bagi pinjaman lain. Dalam menentukan kadar faedah untuk pinjaman perumahan, institusi-institusi perbankan akan mengambil kira kos dana mereka, tempoh pinjaman dan kemampuan pembayaran balik pinjaman serta keadaan pasaran semasa.

2. Bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah membeli rumah kos rendah dan sederhana, Syarikat Jaminan Kredit untuk Perumahan Berhad telah melancarkan skim pinjaman berjamin pada 1 Januari 2008. Melalui skim itu, golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti nelayan, petani dan peniaga kecil berpeluang membuat pinjaman perumahan yang dijamin oleh Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd menerusi Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam Malaysia Bhd. Skim ini disasarkan untuk pembelian rumah yang bernilai kurang daripada RM60,000 pada kadar faedah kadar pinjaman asas (BLR)+ 0% dengan tempoh pinjaman selama 40 tahun atau pinjaman untuk dua generasi.

3. Institusi-institusi perbankan digalakkan menetapkan sasaran pinjaman kepada pembelian rumah bernilai tidak lebih daripada RM100,000. Ini bertujuan memastikan peminjam yang layak untuk membeli rumah dalam lingkungan harga tersebut terus mendapat akses kepada pinjaman pada kos yang berpatutan. Pada masa ini, kadar faedah pinjaman yang dicaj oleh institusi-institusi perbankan bagi pinjaman kategori ini tidak boleh melebihi 1.75% di atas kadar pinjaman asas (yang berada pada tahap 6.75% buat masa ini). Di samping itu, institusi perbankan telah memberikan komitmen untuk membantu meringankan beban peminjam. Antara usaha-usaha yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

i. merangkumkan kos awal seperti fi guaman sebagai sebahagian dari pinjaman. Dalam kes-kes tertentu institusi perbankan boleh menanggung kos fi guaman dan duti setem bagi pihak pembeli;

ii. menawarkan produk-produk yang mengenakan kadar pinjaman faedah yang amat kompetitif; dan

iii. institusi perbankan bersedia mengadakan rundingan awal dengan peminjam sebelum mereka menghadapi masalah bayaran balik. Institusi perbankan juga bersedia menstrukturkan semula pinjaman dengan melanjutkan tempoh pinjaman kepada mereka yang benar-benar menghadapi masalah bayaran balik.
.

3 comments:

Anonymous said...

To Yang BerHomat,
Thank You for Sharing the isue.

Anonymous said...

YB ,
can provide english translated version , like that easier to make comment.

Thank You

Anonymous said...

Hi YB,

Good day. Would just like to know if the reply satisfies your queries and if not what is your intended follow up?