Saturday, March 14, 2009

Machiavellian NAJIB!


Semasa saya menuntut di Fakulti Sains Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia lebih kurang 10 tahun yang lepas, salah satu kertas yang wajib diambil oleh semua pelajar di Fakulti saya ialah “Sejarah dan Falsafah Pemikiran”. Dan salah seorang ahli pemikir klasik yang perlu dikenali ialah Niccolo Machiavelli, seorang ahli falsafah politik Itali termashyur pada abad ke-15. Saya masih ingat dengan begitu terang apa yang dikatakan oleh pensyarah kursus tersebut kepada semua pelajar dalam kelas. Beliau berkata “Buku tulisan Machiavelli yang berjudul The Prince ialah kitab wajib kepada semua ahli politik”. Mengikut beliau, sesiapa yang ingin menjadi ahli politik yang berjaya, hayatilah prinsip-prinsip yang digambarkan oleh Machiavelli.

Machiavelli sendiri bukanlah seorang tokoh politik atau pemerintah namun kupasannya dan penghayatan beliau mengenai cara pemerintah untuk mengekalkan kuasa mereka dengan apa cara sekali pun adalah begitu tepat sekali. Beliau mengupas bagaiamana puak pemerintah menggunakan gandingan unsur kekejaman, ketakutan dan kadang-kadang pula menggunakan daya pujukan untuk mengekalkan kuasa mereka ke atas rakyat yang diperintahnya. Tulisannya mengatakan bahawa untuk menjadi seseorang pemerintah yang berjaya dan digeruni, isu moral adalah tidak relevan. Yang penting sekali ialah kuasa dan matlamat seseorang pemerintah. Apakah cara yang digunakan untuk mencapai kuasa tersebut adalah tidak dipedulikan sangat, yang penting kuasa tetap dipegang akhirnya. Ayat yang mengungkap pengertian ini dalam Bahasa Inggeris berbunyi “The end justify the means”.

Semasa saya membaca buku tersebut atau mengikuti kuliah mengenai subjek tersebut, ia adalah begitu abstrak sekali dan sukar difahami. Saya rasa tak ada seorang pun rakan saya yang benar-benar memahami tulisan dan ungkapan Machiavelli. Namun, mengikuti perkembangan krisis politik di Perak baru-baru ini dan melihat kronologi peristiwa yang berlaku, ia bagaikan membaca tulisan Machiavelli dalam bentuk praktikalnya. Mengapa saya kata begitu? Saya berpendapat bahawa Najib mengambil iktibar daripada buku The Prince bahawa apa yang paling penting ialah pengekalan kuasa, cara apa sekali pun tak penting. Kalau tak boleh menang, kita beli, kalau tak dapat beli, kita rampas. Bukankah ini yang berlaku di Perak?

Pada hemat saya, pukulan yang paling hebat buat Najib ialah kekalahan UMNO dalam Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009. Selama kempen dijalankan, Najib menjadikan KT seolah-olah Putrajaya 2 kerana beliau bertapak di sana dan beliau kelihatan dalam kaca TV dan majlis bersama rakyat lebih banyak daripada calon BN Wan Farid. Segala macam “senjata” yang boleh digunakan untuk memenangkan undi telah digunakan. Wang royalti dikembalikan, bantuan ehsan kebajikan ditaburkan, projek-projek untuk kontraktor Kelas F diagihkan, tanah dan peruntukan diberikan kepada pertubuhan Cina dan apa sahaja bantuan yang diminta diluluskan dengan kelajuan cahaya. Namun, keputusannya Najib dan UMNO ditolak bulat-bulat oleh pengundi di negeri yang ditakrifkan sebagai “Malay heartland” ini.

Untuk kem Najib, pukulan ini terlalu dahsyat dan kemungkinan akan menjadi “pukulan maut”. Jadi, sesuatu perlu dilakukan secepat mungkin untuk memadamkan bab Kuala Terengganu dalam minda pewakilan UMNO menjelang Perhimpunan Agung UMNO. Ketibaan beliau di Putra World Trade Center nanti perlu dilaungkan sebagai seorang wira unggul UMNO yang merampas semula sebuah negeri dalam tempoh singkat dan bukannya seorang pemimpin yang kecundang dalam 2 pilihanraya kecil berturut-turut. Sekiranya kita melihat dari perspektif ini, tidak sukar untuk memahami perkiraan Najib mengapa Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak mesti ditumbangkan dengan apa cara sekali pun sebelum bulan Mac 2009. Dan Perak menjadi sasaran paling mudah memandangkan kedudukan kerusi yang hanya dibezakan dengan 3 kepala.

Najib telah mencapai matlamat jangka pendeknya dengan pantas sekali. Kini, beliau akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO dengan autoriti seorang bakal Presiden yang hebat dan setanding dengan Tun Dr Mahathir dan memberikan kepercayaan kepada orang-orang UMNO bahawa beliaulah manusia tunggal yang boleh mengembalikan kegemilangan UMNO. Bagi Ketua-Ketua Bahagian, inilah sifat pemimpin yang mereka rasa gah. Samada cara yang digunakan adalah mengikut lunas demokrasi langsung tidak relevan dalam kamus pemimpin UMNO. Mereka tidak memerlukan seorang demokrat untuk menjadi ketua. Mereka memerlukan seorang ketua yang boleh mengekalkan kuasa pemerintahan UMNO supaya kepentingan mereka tetap terpelihara. Cara bagaimana melakukanya tak usah dipersoalkan. Inilah keadaan yang kita sedang saksikan dalam senario politik negara.

Mungkin ada yang menyatakan bahawa apa yang dilakukan di Perak hanya akan meningkatkan kemarahan rakyat dan terus melawan UMNO dan BN. Pada hemat saya, Najib mungkin melihat pilihannya adalah terhad dan beliau perlu memperjudikan nasibnya dan mengambil risiko ini. Prioriti utama sekarang ialah memenangkan orang UMNO dahulu. Rapatkan barisan dibawah naungannya dan tingkatkan semangat dan moral “askar-askarnya”. Lepas itu, baru melawan medan di luar. Beliau mengharapkan daya ingatan rakyat Malaysia masih cetek seperti dulu. Sabah pada tahun 1994 pernah mengalami apa yang berlaku di Perak pada hari ini. Namun, pada pilihanraya seterusnya, BN tetap berkuasa. UMNO hampir pupus pada tahun 1999 semasa era Reformasi, namun kemenangan paling cemerlang menunggu tahun 2004. Inilah pendulum yang diharapkan oleh Najib sekarang.

Persoalannya sekarang ialah samada rakyat Malaysia sanggup memaafkan Najib terhadap apa yang berlaku di Perak dan cara yang digunakannnya? Saya rasa tentu tidak. Namun, masih banyak usaha perlu dilakukan oleh Pakatan Rakyat untuk sentiasa mengingatkan mereka bahawa hak demokrasi mereka telah dirampas hari ini dan kuasa untuk menuntut semula harta mereka yang telah dirompak terletak dalam tangan mereka. Ujian pertama menunggu kita di Bukit Gantang namun ujian yang paling besar akan menjelang dalam PRU ke-13. Wahai rakyat Malaysia, buktikanlah bahawa ahli politik yang berjaya tak semestinya perlu mengikuti ajaran Machiavelli. Cukup sekadar dijadikan panduan strategi untuk melawan musuh.

….Loke Siew Fook

Artikel di atas diterbitkan dalam Akhbar Roket edisi bulan Mac 2009. Penulis ialah Ahli Parlimen Rasah dan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY). Beliau boleh dihubungi melalui emel: siewfook@gmail.com
.

5 comments:

chriskooi said...

UKM Alumni, I am from UKM too. :)

Lee Wee Tak said...

YB,

you certainly have a hard hitting piece which I can agree with

Anonymous said...

Jib may have won the battle in Darul Ridzuan, but he sure as H3ll is losing the war.

Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Ai are the next battlefield.

It is the chance for the rakyat to show him who is boss ultimately.

P130 voter

Anonymous said...

P130

i think the sarawak seat is a bit difficult for opposition to win ,
EM is always a traditional stronghold for BN..........

sigh.............

will know the answers only on the
7th april , if PR wins in sarawak , it will be one of the biggest setback for BN ,

rakyat in EM is send another different kind of msg to BN come next election its going to be end of the reign.......................
long awaited one...................

Anonymous said...

Dr. Masing just beats around the bush when he is interviewed by Aljazeera's Fauziah Ibrahim. If the voters of Batang Ai watch the programme they probably shy away from BN in the April 7 by-election unless they are unduly influenced by the goodies distributed to them lately.