Thursday, July 3, 2008

Parliament speech (1): First world human capital


Teras 2: Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi Negara serta memupuk “Minda Kelas Pertama”.

Aset yang paling penting untuk Negara ialah modal insan dan generasi muda kita. Untuk memupuk modal insan yang berminda kelas pertama, acuhan pendidikan tidak boleh sahaja mementingkan fakta dan maklumat tetapi keupayaan untuk menimba pengetahuan, kebebasan berfikir, persekitaran yang membolehkan percambahan minda dan menghormati kepelbagaian dalam masyarakat perlulah dititikberatkan. Dasar pendidikan Negara perlulah mengambil kira unsur-unsur kepelbagaian kaum, budaya dan bahasa dalam masyarakat kita dan kepelbagaian itu sebenarnya merupakan kekuatan Malaysia.

Saya menyambut baik komitmen kerajaan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan tertiari daripada 21.9% pada tahun 2007 kepada sasaran 40% bagi kumpulan umur 17-23 pada tahun 2010. Namun, masyarakat berpengetahuan tidak bolehlah diukur dengan angka atau jumlah pelajar universiti semata-mata. Kuantiti di tahap peringkat tertiari yang meningkat perlulah disusuri dengan kualiti yang boleh dibandingkan dengan yang terbaik di dunia. Kualiti pengajaran di kalangan ahli akademik perlulah sentiasa dipertingkatkan dan dibenchmark dengan Standard antarabangsa. Pembelajaran di kalangan siswa-siswi pula tidak boleh hanya tertumpu di dalam kelas tetapi pendedahan yang lebih besar kepada dunia luar, penguasaan bahasa Inggeris, kemahiran dalam “soft skills” dan keterampilan diri untuk memberikan keyakinan diri yang lebih tinggi di kalangan para graduan kita.

Namun, sekiranya negara ingin melihat kewujudan modal insan yang bermentaliti kelas pertama, fikiran mereka tidaklah boleh dikonkong sama sekali. Budaya bertanya soalan dan berbahas secara ilmiah perlulah dipupuk dan digalakkan. Keperihatinan orang muda terhadap perkembangan sosial dan politik negara adalah sesuatu yang perlu disemai kerana ini adalah satu proses yang cukup penting untuk melahirkan sebuah masyarakat yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga mempunyai kesedaran sivik dan demokrasi yang matang. Justeru itu, kerajaan perlu menyegerakan proses mengkaji semula dan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti yang telah menyemai unsur ketakutan di kalangan siswa-siswi dan menyekat mereka daripada berfikir di luar kotak.

Peluang dan akses kepada pendidikan perlulah dijadikan sebagai satu agenda yang dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu-padu. Sebarang ketidakadilan dalam peluang terhadap pendidikan akan membantutkan proses untuk melahirkan sebuah Bangsa Malaysia yang tulen. Setiap tahun, isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam telah menimbulkan pelbagai ketidaksenangan hati di kalangan pelajar cemerlang yang gagal mendapat biasiswa tersebut. Walaupun bilangan biasiswa JPA pada tahun ini telah dipertingkatkan dan lebih ramai pelajar bukan Bumiputera yang ditawarkan biasiswa, namun masih ramai lagi pelajar cemerlang yang tidak berjaya. Saya ingin menegaskan bahawa peluang biasiswa JPA yang lebih banyak kepada pelajar bukan Bumiputera tidak akan mengorbankan sama sekali peluang kepada pelajar Bumiputera yang cemerlang sekiranya bilangan biasiswa ini bertambah besar.

Saya ingin menyeru kepada kerajaan supaya mengkaji semula pelaksanaan dan dasar pemberian biasiswa JPA termasuk bagaimana menampung pelajar STPM yang cemerlang supaya tidak ada pelajar cemerlang yang tercicir daripada peluang melanjutkan pelajaran ke universiti unggul di luar negara. Kita tidak boleh membenarkan sama sekali melihat modal insan kita yang terbaik atau “the best and the brightest” seorang demi seorang kehilangan kepada negara lain khasnya Singapura yang banyak menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang kerana ini akhirnya akan memburukkan lagi masalah “brain drain” di Malaysia.
.

No comments: