Saturday, July 5, 2008

Parliament Speech (2): "Colour Blind" in Poverty Eradication


Teras 3: Menangani Ketidaksamaan Sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif

Falsafah pembangunan negara perlulah menjurus kepada pertumbuhan ekonomi yang boleh meningkatkan taraf sosio ekonomi semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama, status sosial dan lokasi mereka. Agenda pembasmian kemiskinan perlulah membutakan warna atau “colour blind”. Tanggapan sesetengah pihak bahawa masalah kemiskinan tidak melibatkan masyarakat Cina adalah satu andaian yang simplistik. Walaupun 7 daripada 10 orang paling kaya di Malaysia adalah dari masyarakat Cina, ini tidak bermakna tidak ada orang miskin di kalangan masyarakat Cina Malaysia.

Penjual char okay teow di Pulau Pinang, penjaja tauge ayam di Ipoh, nelayan di Pulau Ketam, petani di Sekinchan, pemandu teksi di Kuala Lumpur dan penjual sayur di Pasar Seremban juga sama-sama menghadapi tekanan kos hidup yang begitu menghimpitkan sama seperti kaum-kaum lain di Malaysia. Kebanyakan rakyat Malaysia yang dibelenggu masalah “Ah Long” adalah peniaga-peniaga kecil dan penjaja-penjaja di kalangan masyarakat Cina kerana kekurangan dokumen sokongan menyulitkan mereka mendapatkan kemudahan kredit daripada bank.

Justeru, saya menyeru kerajaan supaya memperbesarkan lagi dana kemudahan kredit mikro dan akses terhadap kemudahan ini dibuka untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Proses permohonan dalam skim kredit mikro perlulah dipermudahkan sehingga benar-benar mencapai kumpulan sasar di peringkat akar umbi.

Kerajaan Barisan Nasional sepatutnya menkaji dan memahami secara mendalam mengapa masyarakat India di Malaysia yang selama ini menjadi satu “blok undi yang begitu solid” kepada BN telah meninggalkan BN pada 8 Mac yang lalu sehingga mencetuskan “tsunami politik Malaysia”. Mengapakah pergerakan HINDRAF berjaya memobilisasikan masyarakat India sehingga menjadi satu pergerakan massa atau “mass movement” yang tidak pernah berlaku dalam sejarah 50 tahun Malaysia? Sekiranya tidak benar bahawa masyarakat India dipinggirkan oleh kerajaan BN, tidak mungkin HINDRAF akan menjadi satu “rallying point” atau “magnet” untuk menyatukan satu pergerakan “MAKKAL SAKTHI” yang begitu besar impaknya.

Mesej yang kuat telah dihantar oleh masyarakat India kepada kepimpinan BN. Terpulanglah kepada kebijaksanaan politik kepimpinan BN samada mahu mengatur strategi dan melaksanakan dasar yang lebih komprehensif untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat India Malaysia. Peruntukan RM 3 juta dalam Skim Pembangunan Usahawan Muda India di bawah TEKUN Nasional menampakkan ketidakikhlasan di pihak kerajaan BN. Apa yang boleh diubah dengan RM3 juta? Pengubahsuaian pejabat-pejabat untuk Menteri di bangunan Parlimen pun telah memakan belanja RM2.3 juta. Sebagai permulaan, saya mencadangkan peruntukan untuk latihan usahawan muda India ini ditingkatkan sepuluh kali ganda sehingga RM 30 juta.
.

No comments: